OGOS 2022

Kemudahan Lebuh Raya Sarawak Bakal Bertaraf Dunia - Premier


MIRI: Pembukaan Seksyen Pujut bagi Pakej Kerja Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link (WPC11) kepada orang ramai hari ini merupakan bukti Kerajaan Sarawak menunaikan janji kepada rakyatnya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi pembukaan seksyen tersebut, hasrat rakyat Sarawak untuk menikmati kemudahan lebuh raya bertaraf dunia bakal menjadi kenyataan.

"Pembukaan seksyen ini memberi manfaat kepada penduduk terutama dapat memberi kemudahan kepada pengguna berulang alik dari Miri ke Limbang, Sibu dan Kuching.

“Insya-Allah, matlamat kita menjadi negeri maju yang berpendapatan tinggi dapat direalisasikan dengan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seksyen Pujut Bagi Pakej Kerja Sungai Tangap - Jalan Pujut Link (WPC11) di sini, hari ini. 

Majlis itu dirasmikan bersama-sama Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof atas usaha menyiapkan projek tersebut.

"Alhamdulillah, inilah impian kita di Sarawak untuk mempunyai jalan raya bertaraf dunia. Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Dato Sri Fadillah dan kementeriannya atas kerja keras mereka," katanya.

Seksyen Pujut adalah seksyen yang dibina sepanjang 15.9 kilometer (km) di bawah Pakej Kontrak Kerja 11 (WPC11) melibatkan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM470 juta.

Skop pembinaan di bawah Seksyen Pujut juga merangkumi pembinaan dua jejambat iaitu jejambat Lapangan Terbang Miri dan jejambat Pujut Link serta dua jambatan iaitu jambatan Sungai Adong dan Sungai Miri.

Dua lagi seksyen di bawah pakej ini ialah Seksyen Beluru dan Seksyen Lambir yang masih dalam proses pembinaan.

Sumber dari : Jiwa Bakti